Awas penceroboh tanah kerajaan!

Awas penceroboh tanah kerajaan!

KUANTAN: Kerajaan Pahang tidak akan berdiam diri dengan kegiatan pencerobohan tanah di negeri ini dan akan berterusan membanterasnya daripada berleluasa.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerana itu kerajaan negeri menubuhkan Pasukan Elit Penguatkuasa Pahang bagi membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan di negeri ini.

“Ketika ini, pasukan elit ini sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan segera untuk memastikan kegiatan itu tidak berleluasa,” katanya dalam sidang media selepas majlis peletakan batu asas Foodlawn.Kome@Tg.Lumpur di Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.

Ditanya berlaku kegiatan pencerobohan tanah, Wan Rosdy mengakuinya tetapi kegiatan terbabit masih dalam keadaan terkawal.

Justeru, beliau mengingatkan kepada pihak terbabit supaya menghentikan kegiatan pencerobohan tanah kerjaaan bagi mengelak dikenakan tindakan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN