Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Hanya RM5 seekor. Itu harga jualan ayam segar dengan purata berat lebih 1.5 kilogram menerusi program jualan amal anjuran Dapur Infaq Ummah.
Pengasasnya, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, jualan amal itu dikhususkan kepada golongan yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Kita menyediakan sebanyak 150 ekor ayam untuk dijual pada harga serendah RM5 seekor, namun satu keluarga hanya boleh membeli seekor sahaja.
“Setakat ini sambutan terhadap jualan amal ini amat menggalakkan apabila dalam masa beberapa jam sahaja ayam promosi ini habis dijual,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, ini kali pertama badab bukan kerajaan (NGO) itu mengadakan jualan amal ayam segar untuk membantu meringankan beban golongan memerlukan, lebih-lebih lagi PKP 3.0 sudah berlangsung agak lama.
“Rancangan awal Dapur Infaq Ummah ialah untuk mengadakan jualan amal ikan segar dengan harga murah namun pada saat akhir pembekal tidak dapat menyediakan bekalan ikan dengan jumlah diperlukan.
“Kami terpaksa menukar kepada ayam selepas mendapat persetujuan pemborong ayam di daerah ini,” katanya yang turut membantu menjual ayam di Laman Kopi & Teh, Indera Mahkota, di sini hari ini.
Katanya lagi, aktiviti jualan bermula 9.30 pagi namun setengah jam sebelum itu sudah ramai yang datang untuk mendapatkan ayam dan sanggup beratur panjang dengan menjaga jarak antara individu.
Menurutnya Dapur Infaq Ummah sentiasa prihatin dan cuba menolong golongan memerlukan terutama ketika berdepan pandemik COVID-19.
“Semalam Dapur Infaq Ummah menyalurkan sumbangan keperluan asas kepada 100 golongan miskin bandar di daerah ini menerusi program ‘foodbank’.
“Selain itu, setiap hari kita menyediakan makan tengah hari dan malam kepada lebih 150 komuniti lorong Wong Ah Jang, di sini yang turut terkesan dengan PKP 3.0 kali ini,” katanya.