KUANTAN: “Permintaan terhadap ayam panggang tempayan naga sepanjang Ramadan kali ini agak luar biasa apabila mampu dijual sehingga 80 ekor sehari,” kata peniaga, Izyan Sulaiman, 36, yang berniaga di bazar Ramadan Koperasi Lama Permatang Badak, di sini.
Katanya, dia tidak menyangka idea menjual ayam panggang dalam tempayan naga itu diterima sehingga menyebabkan tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan setiap hari.
Menurutnya, resipi menghasilkan ayam panggang itu diubah suai mengikut cita rasa ahli keluarganya dan kini menjadi kesukaan pengunjung di bazar Ramadan berkenaan.
“Saya tidak menjualnya pada hari biasa, sebaliknya hanya muncul setiap kali Ramadan sahaja, sekali gus menjadikan menjadi juadah istimewa buat penggemar ayam panggang tempatan.
“Setiap hari saya mampu jual sehingga 80 ekor, manakala proses membakar mengambil masa 30 minit dalam tempayan besar yang dicampur ramuan istimewa,” katanya yang dibantu isteri, Adeb Hilman Alyatullah, 35.
Beliau menambah, pelanggan yang baru mencuba menu itu biasanya datang semula untuk membelinya lagi walaupun ada yang terpaksa menunggu lama. – MOHD IMRAN IZZAD