Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir pada majlis menghadap adalah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Dato’ Sri Megat D Shahriman Zaharuddin.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda pada sesi itu berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Reezal Merican sebagai tanda simbolik penerimaan bagi pihak kedua-dua kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai persediaan dan penyertaan kontinjen negara di kedua-dua temasya itu.
Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet negara atas kegigihan dan kecekalan serta kejayaan mereka melayakkan diri untuk bersaing di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan agar atlet negara dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka bagi menjulang nama Malaysia di persada tertinggi dunia.
Selain itu, baginda menzahirkan harapan agar atlet dan pegawai sentiasa berwaspada dalam menjaga kesihatan diri ketika berada di kedua–dua temasya itu.
Justeru, baginda menyeru seluruh rakyat untuk bersama baginda mendoakan semoga atlet negara mencapai sasaran yang ditetapkan di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.