Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Dollah Salleh mahu pemain Sri Pahang FC bangkit daripada prestasi hambar apabila berdepan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, di sini, malam ini.
Pengurus Sri Pahang FC itu berkata, prestasi terbaik amat ditagih untuk mengembalikan keyakinan dan memperbaiki kedudukan lebih baik dalam saingan liga.
Justeru, beliau mahu anak buahnya bijak memanfaatkan peluang yang dimiliki dengan sebaik mungkin untuk kembali mencatat kemenangan.
“Setakat ini, hanya satu kemenangan yang diraih dan sudah pasti kemenangan akan membantu memperbaiki kedudukan selain menambah lagi keyakinan,” katanya.
Selepas enam perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ke-11 dengan meraih empat mata.
Ditanya bahagian pertahanan kemungkinan berdepan masalah berikutan ketiadaan Herold Goulon yang digantung perlawanan, Dollah menegaskan, beliau mahu pengganti pemain import itu mampu memikul tugas yang diberikan.
“Begitu juga bahagian serangan yang dilihat belum memberi ancaman kepada lawan sehingga menjejaskan perancangan dalam memburu gol buat pasukan.
“Saya harap persefahaman dan kerjasama di setiap posisi iaitu pertahanan, tengah dan serangan menjadi untuk menafikan TFC membawa pulang mata.
“Biarpun TFC dilihat memiliki rekod yang baik dalam saingan liga setakat ini, saya harap pemain dapat memberi tentangan,” katanya.