PASUKAN Pahang Rangers FC (Pahang Rangers) tidak gentar untuk berhadapan Selangor MAC pada perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam Selangor esok, walaupun lawan berkelebihan beraksi di laman sendiri.
Jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas, berkata bermain di tempat sendiri tidak bermakna lawan boleh meraih kemenangan mudah kerana tentangan sengit pasti diberikan anak buahnya.
Menurutnya, pemain Pahang Rangers kini bersedia sepenuhnya memberikan persembahan terbaik di pentas akhir malam esok yang dijangka sengit.
“Pemain berjanji dengan saya untuk memberikan persembahan terbaik dalam usaha mencatat kemenangan seterusnya menjulang kejuaraan pertama di pentas kebangsaan.
“Kita telah membaiki beberapa kelemahan sebelum ini dan diharapkan pada perlawanan akhir esok, pemain tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya di Kuantan, hari ini.
Beliau berkata, peluang kedua-dua pasukan di pentas akhir kali pertama ini boleh dikatakan 50-50.
“Saya percaya, pasukan yang banyak melakukan kesilapan akan berakhir dengan kekecewaan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD