Ayuh kembalikan kemeriahan Tasik Bera – Tourism Pahang

Ayuh kembalikan kemeriahan Tasik Bera – Tourism Pahang

Oleh Husin Ibrahim

fikrahpahang@gmail.com

BERA: Tasik Bera boleh kembali meriah dengan pelbagai aktiviti rekreasi dan pelancongan sekiranya ada pihak menguruskan resort di tasik air tawar semula jadi terbesar di Semenanjung Malaysia itu.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim, berkata bagaimanapun setakat ini belum ada pihak yang diberi kebenaran oleh kerajaan negeri untuk tujuan itu walaupun tawaran sudah dikeluarkan.

“Tourism Pahang selaku agensi pelancongan negeri sudah membuka tawaran kepada mana-mana syarikat atau operator berminat untuk menguruskan resort di Tasik Bera dan kini masih dalam proses pemilihan.

“Sayang jika dibiarkan dan kami berpendapat, satu pembaziran sekiranya Tasik Bera dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk mengembalikan aktiviti pelancongan di situ,” katanya sambil menjelaskan pembaziran dimaksudkan itu termasuk kegagalan memanafaatkan kemudahan infrastruktur sedia ada.

Menurutnya, persekitaran tasik berkenaan sudah dilengkapi kemudahan asas antaranya jeti, chalet 23  bilik, ruang pejabat, kafetaria, surau dan tapak perkhemahan.

“Cuma perlu ditambah nilai contohnya mengindahkan landskap selain membaiki bumbung dan lantai kayu beranda chalet itu,” katanya selepas melakukan lawatan bagi meninjau kerja-kerja pembersihan dan baik pulih persekitaran tasik berkenaan bersama Majlis Daerah Bera dan kakitangan Tourism Pahang, semalam.

Menurut Kamarudin lagi, kawasan sekitar dan di tasik itu sendiri boleh diadakan pelbagai aktiviti lasak dan mencabar antaranya jelajah hutan, kayak dan memancing.