KUANTAN: Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid menggesa ahli UMNO kembali merapatkan saf perjuangan parti sempena ulangtahun UMNO ke-76.
Beliau berkata, ini kerana UMNO kini berada pada landasan tepat untuk kembali menerajui kerajaan.
“Kini, walaupun UMNO belum menang Pilihan Raya Umum (PRU), pemimpin UMNO kembali menguasai kerajaan dengan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO.
“Walaupun pada ketika ini, BN-UMNO menguasai Kerajaan Persekutuan dengan berkongsi kuasa dalam sebuah kerajaan campuran bersama Perikatan Nasional (PN), setidak-tidaknya, negara berada di landasan yang betul untuk memulihkan ekonomi negara serta kehidupan rakyat setelah dilanda tsunami pandemik COVID-19.
“Untuk itu, marilah sama-sama kita rapatkan kembali saf perjuangan kerana UMNO kini berada di landasan yang tepat untuk kembali menerajui kerajaan.
“Selamat ulang tahun yang ke-76,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN