Azam kekal bersama Sri Pahang

Azam kekal bersama Sri Pahang

PEMAIN kebangsaan, Nor Azam Azih kekal bersama Sri Pahang FC walaupun heboh dikatakan hendak berhijrah ke pasukan lain.

Menurut sumber, pemain berusia 27 tahun tidak akan berpindah ke pasukan baharu seperti yang tular sepanjang minggu lalu.

“Azam masih bersama Sri Pahang dan khabar angin yang mengatakan Azam bersama pasukan lain tidak betul.

“Pada masa sama, Azam masih mempunyai kontrak bersama Sri Pahang dan jika benar dia akan berpindah, sudah pasti SPFC (Kelab Bolasepak Sri Pahang) menerima surat permohonan daripada pasukan luar,” kata sumber itu.

Minggu lalu, Azam yang kini bersama skuad kebangsaan dikatakan hendak berpindah ke pasukan baharu sebaik jendela perpindahan pemain dibuka.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan daripada SPFC dan pasukan yang berminat mendapatkan pemain tengah itu. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN