Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Tindakan seorang remaja lelaki yang melompat keluar halangan dan kawat berduri yang dipasang di Taman Mentiga Jaya, di sini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
(PKPD) mengundang padah, semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, disebabkan tindakan itu, remaja berumur 18 tahun terbabit
dikompaun RM3,000 kerana didapati melanggar pelaksanaan PKPD.
Katanya, berdasarkan laporan, perbuatan remaja terbabit dikesan pasukan Pemantau Team Alpha COVID-19 pada jam 9.40 malam.
“Remaja terbabit dikompuan kerana ingkar arahan keluar dan masuk ke kawasan PKPD tanpa kebenaran polis dengan melompat keluar halangan dan kawat berduri yang dipasang di Taman Mentiga Jaya menuju ke perumahan Dato Shahbandar Pekan.
“Kompaun RM3,000 yang dikeluarkan terhadap remaja itu atas kesalahan mengikut Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam
Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan)(No.3) 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk yang kawasan kediaman mereka dikenakan PKPD supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19.
Berkuat kuasa 9 hingga 22 April ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di lima taman perumahan dan perkampungan di daerah itu.
Lima kawasan berkenaan membabitkan perumahan di Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana, Perkampungan Peramu Jaya 3, Taman Sepekan Makmur dan Kampung Pulau Serai.
Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob
berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.
“Ia juga atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengenal pasti wujud Kluster Teknologi Peramu Jaya di daerah itu membabitkan pekerja kilang menetap di kawasan terbabit,” kata Ismail Sabri.