Baik pulih kemudahan awam di 7 kampung akan diberi perhatian

Baik pulih kemudahan awam di 7 kampung akan diberi perhatian

RAUB: Pelbagai permasalahan berkaitan infrastruktur awam di tujuh kampung dalam 

kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong dikenal pasti dan diambil perhatian untuk tindakan lanjut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal, berkata antara aduan penduduk yang diterima membabitkan jalan rosak dan jambatan runtuh.

Fadzli yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, berkata: “Penting bagi kita mendengar keluhan rakyat. Ada infrastruktur yang saya lihat dalam tinjauan boleh terus dibaik pulih.

“Tapi ada yang memerlukan peruntukan sama daripada kerajaan negeri atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) atay agensi berkaitan.”

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Raub, semalam. 

Lawatan dan tinjauan itu dilakukan di Kampung Sungai Sol, Kampung Bedu, Kampung Kuala Keloi, Kampung Tanjung Putus, Kampung Lechar, Kampung Temau Tengah dan Kampung Sungai Pasu. – NUR HANNAH KHADIJAH