Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
pic by Fath Ahnaf
KUANTAN: Kelab Media Pahang (KMP) bersama badan bukan kerajaan (NGO) Makmur Releif menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 23 petugas media di negeri ini.
Majlis penyampaian sumbangan itu diadakan di perkarangan Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah RTM Pahang, dekat Kemunting, di sini, secara pandu lalu.
Pengerusi KMP, Dato’ Nik Naizi Hussin, berkata sumbangan terbabit tidak terhad kepada mereka yang hilang punca pendapatan sebaliknya KMP akan mengusahakan bantuan untuk sesiapa sahaja petugas media yang terjejas.
“Ini adalah kumpulan pertama yang menerima sumbangan ini dan akan ada lagi selepas ini. Kita terpaksa mengehadkan penerima bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Hadir sama pada majlis penyampaian sumbangan berkenaan, Pengerusi Makmur Relief, Ali Akbar; Pengarah RTM Pahang, Arifin Awang dan Timbalan KMP, Jasmi Faisal Muda.
Ali Akbar berkata, sumbangan kepada petugas media itu sebagai menghargai jasa baik mereka yang juga ibarat petugas barisan hadapan negara ketika pandemik COVID-19.
“Sehingga ini, Makmur Relief sudah mengedarkan 55 bakul makanan kepada individu terjejas antaranya pengusaha e-hailing dan kereta sewa,” katanya.