KUANTAN: Suri rumah tidak menyangka boleh menerima pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas kematian suami akibat wabak Covid-19.
Maimon Ismail, 58, berkata pencen bulanan yang diterima membolehkannya menampung kehidupan seharian kerana sebelum ini bergantung kepada pendapatan Allahyarham suaminya, Safie Ismail.
“Saya tak tahu sebenarnya allahyarham suami mencarum dengan Perkeso. Saya akan memanfaatkan sebaiknya wang pencen ini, terutama untuk kegunaan anak bongsu yang masih belajar,” katanya.
Maimon ditemui pada majlis penyerahan faedah Perkeso dan Program Transformasi Usahawan Belia Pahang anjuran Hub Usahawan Belia Malaysia dan Perkeso Pahang di Wisma Perkeso Kuantan, di sini, hari ini.
Penyerahan faedah itu disampaikan Pengarah Perkeso Pahang, Tarmizi Mukhtar.
Sementara itu, Tarmizi berkata, pencen itu diharap dapat meringankan beban perbelanjaan waris Allahrahyam Safie.
“Berdasarkan laporan, allahyarham Safie mendapat jangkitan Covid-19 di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kemunting.
“Oleh itu, penerima iaitu balu allahyarham layak menerima faedah pengurusan jenazah dan faedah pencen secara bulanan kerana allahyarham mendapat jangkitan ketika sedang bekerja,” katanya.