Mohd Imran Izad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
TEMERLOH: Seramai 41 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di enam daerah di negeri ini menunjukkan komitmen yang tinggi apabila meneruskan tugas seperti biasa walaupun rumah mereka turut ditenggelami banjir, baru-baru ini.
Jumlah teramai membabitkan kakitangan JKM yang turut terjejas akibat banjir di Lipis seramai 23 diikuti Temerloh dan Kuantan (5), Maran (4), Raub (3) dan Bera (1).
Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, sebagai pengarah beliau amat berbangga dengan kesungguhan dan komitmen yang ditunjukan anak buahnya kerana walaupun rumah mereka ditenggelami banjir namun tetap terus menjalankan tanggungjawab kepada mangsa banjir lain.
Katanya, mereka utamakan tugas sepanjang bencana banjir melanda Pahang sehingga sanggup meninggalkan harta hantar benda dan menghantar keluarga ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebelum menyambung tugas siang dan malam.
Menurutnya, bagi mereka kepentingan mangsa banjir perlu diberi keutamaan terutama tugas menyelaras PPS selain menghantar keperluan makanan dan memindahkan mangsa banjir perlu dilakukan secara berterusan.
“Saya difahamkan banyak rumah kakitangan JKM Temerloh yang ditenggelami banjir menyebabkan mereka banyak kerugian harta benda kerana banjir berlaku begitu cepat dan ketika itu mereka sedang bertugas
“Mereka hanya mampu melihat gambar dan video rumah mereka ditenggelami banjir, perasaan sedih dan sayu pasti terasa melihat apa yang berlaku namun demi tanggungjawab tugas tetap dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan bantuan ihsan kepada kakitangan JKM Temerloh yang rumah mereka ditenggelami banjir, di sini.
Bagi Pegawai JKM Daerah Temerloh, Badrul Hisam Md Yassin, 52, berkata beliau terpaksa menempatkan keluarganya di inap desa di Taman Bukit Bendera selepas rumahnya di Taman Sagumpas, Mentakab, ditengelami banjir lebih dua minggu.
Katanya, sebagai ketua pejabat, beliau terpaksa bertugas siang dan malam dalam memastikan pengurusan sebanyak 84 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka dapat berjalan lancar tanpa menimbulkan terlalu banyak masalah sehingga menjejaskan emosi mangsa banjir.
“Sokongan pengarah JKM dan pelbagai pihak menambahkan lagi semangat kami untuk bertugas sepanjang musim tengkujuh walaupun rumah kami sendiri turut ditenggelami banjir.
“Kejadian banjir kali ini menyebabkan saya kerugian banyak harta benda apabila hampir keseluruhan rumah ditenggelami banjir,” katanya yang menganggap banjir kali ini lebih besar berbanding pada 2007 dan 2014 dengan paras lebih satu meter.