KUANTAN: Ahli UMNO perlu membawa pendekatan baharu yang segar bagi menarik kembali sokongan rakyat.
EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim, berkata ahli UMNO juga perlu bangkit daripada ‘mimpi ngeri’ selepas kekalahan teruk Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Sebagai parti tunjang orang Melayu, UMNO perlu membawa satu pendekatan baru dan segar untuk memastikan kembali pulih dan mendapat sokongan rakyat.
“Dengan penambahan pengundi muda dan kecenderungan mereka dengan teknologi, parti perlu bergerak seiring dengan membawakan perubahan dengan melaksanakan pendekatan lebih kreatif,” katanya.
Yakin mampu membawakan aspirasi baharu yang lebih mesra orang muda, Muhammad Faiz menawarkan diri bertanding bagi mengisi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota.
Untuk rekod, pemilihan jawatankuasa UMNO Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri bermula 1 Feb sehingga 26 Februari 2023, diikuti pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri serta pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri pada 11 Mac 2023.
Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian dan Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pula pada 18 Mac ini. – ZUKLKEPLI OSMAN