Banjir di Pahang kini pulih sepenuhnya

Banjir di Pahang kini pulih sepenuhnya

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Penutupan empat pusat pemindahan sementara (PPS) di sini dan Pekan yang menamatkan operasinya pagi tadi menandakan berakhirnya musibah banjir yang membelenggu Pahang sejak hampir sebulan lalu.

  Daripada empat PPS terbabit, dua terletak di daerah ini iaitu di Dewan Melati Penjara Penor dan Sekolah Kebangsaan (SK) Benut Rendang, manakala dua lagi di Pekan iaitu SK Temai serta Dewan PKB Padang Rumbia.

  Penutupan empat PPS itu membolehkan keseluruhan 509 orang daripada 129 keluarga mangsa banjir terakhir yang tersadai di situ pulang ke rumah masing-masing.

  Sementara itu, portal http://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air di semua sungai di negeri ini berada di tahap normal.

  Banjir terburuk sejak 2014/2015 itu mula menenggelamkan banyak tempat di sembilan daerah di negeri ini pada awal tahun disebabkan hujan lebat luar biasa yang berlaku serentak dan berterusan selama beberapa hari.

  Puluhan ribu penduduk terjejas, manakala tujuh orang menjadi korban dalam kejadian banjir tahun ini.    

  Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum ini memaklumkan hujan lebat luar biasa direkodkan pada 3 Januari lalu di beberapa stesen JPS di Maran iaitu di Sungai (Sg) Jempol dan kawasan sekitarnya dengan rekod tertinggi dicatatkan di Ladang Chenor iaitu sebanyak 285milimeter (mm).

  Keadaan itu menyebabkan peningkatan air sungai dan seterusnya membanjiri kawasan rendah di daerah berkenaan.

  Situasi serupa turut berlaku di Raub apabila merekodkan jumlah taburan hujan sebanyak 225mm di Stesen Sg Pasu, Stesen Hulu Gali (195.5mm), Stesen Kampung Dong (197.5mm), Stesen Jeruas (177.5mm), Stesen Batu Talam (173.5mm).

  Hujan lebat juga menyebabkan peningkatan air di sungai-sungai utama iaitu di Sg Jelai, Lipis; Sg Tembeling, Jerantut dan Sg Pahang yang merentasi daerah Jerantut, Temerloh Maran, Bera dan Pekan.