KUANTAN: Sekurang-kurangnya 774 mangsa banjir daripada 218 keluarga masih berada di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 12 tengah hari ini.
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang, jumlah itu membabitkan mangsa di Pekan, Rompin dan Bera.
Ia menunjukkan penurunan berbanding 1,369 mangsa banjir daripada 410 keluarga berada di 32 PPS, semalam.
Sementara itu, Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran mencatatkan bacaan melepasi paras amaran.
Tiga sungai melepasi paras waspada iaitu di Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong dan Sungai Triang di Triang, Bera. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN