Banjir puing: Saya yakin 100 peratus, kata Prof Dr Ibrahim Komoo

Banjir puing: Saya yakin 100 peratus, kata Prof Dr Ibrahim Komoo

KUALA LUMPUR: “Saya yakin 100 peratus (bahawa) 99 peratus daripada bahan-bahan itu adalah bahan puing,” tegas Ketua Klustar, Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM) Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo.

Beliau berkata demikian mengulas isu banjir lumpur yang membawa bersama kayu hanyut di Sungai Telemong di Karak, Bentong, dalam program Ruang Bicara Bahas bertajuk Bencana Banjir: Antara Proses Semulajadi dan Aktiviti Manusia yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook dan Youtube Bernama TV, semalam

Ibrahim berkata, menerusi pemerhatiannya, beliau amat yakin lambakan pokok hanyut itu sama ada berasal daripada pokok hidup di kawasan cerun yang jatuh bersama ketika gelinciran tanah, atau pokok yang sudah beberapa tahun mati dan sebelum itu berada di lantai hutan.

Ini kerana, katanya, keadaan kayu kayan yang dibawa aliran puing itu menunjukkan semua ciri-ciri berlakunya musibah banjir puing.

“Ciri-ciri kayu kayan yang dibawa aliran puing adalah pertama, ia kayu pelbagai saiz, kedua kita lihat hujung kedua-dua pangkal seperti batang mancis yang dipatah-patahkan.

“Ciri ketiga pula, kayu kayan itu sudah tidak lagi mempunyai kulit kerana telah dilanggar batu besar atau berlaga sama sendiri dalam perjalanan dan keempat, ia kelihatan sangat lusuh seolah-olah satu atau dua tahun kerana dalam perjalanannya sehingga berhenti di tempat tersangkut itu, ia diselaputi lumpur dan bahan organit,” katanya.

Dalam rancangan dihoskan Sharkawi Jirim itu, Ibrahim dijemput menjadi ahli panel bersama Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Datuk Dr Shariffa Sabrina Syed Akil.

Mengulas mengenai terdapat kayu beberapa batang kayu yang sudah digergaji dan kelihatan seperti balak, Ibrahim berkata, ia dilakukan selepas berlakunya aliran puing berkenaan.

“Kalau dilihat dengan teliti, banyak lagi pangkal pokok yang tercabut di situ, cuma orang ramai hanya melihat sebatang dua pokok yang sudah digergaji.

“Sebenarnya, batang pokok itu digergaji oleh pihak berwajib selepas aliran puing untuk membersihkan jalan,” tambah bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu. 

Katanya lagi, bencana alam seperti itu sering terjadi di serata dunia dan ia bukanlah disebabkan angkara manusia.

“Pertama kali saya melihat kayu kayan dibawa banjir puing ialah di perkampungan Orang Asli Pos Dipang pada 1996 dan ketika itu, saya juga menyangkakan ia kerana aktiviti pembalakan.

“Tetapi selepas dibawa rakan saya melawat kejadian serupa di Jepun tidak lama selepas itu, saya lihat lambakan kayu kayan sehingga beberapa kilometer, barulah saya tahu ia akibat aliran puing,” katanya.

Sementara itu, Shariffa Sabrina berkata, beliau merasakan kejadian berkenaan tetap ada kaitan dengan aktiviti pembalakan luar kawalan. – HELMY ABD RAHMAN