Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Tiram dan Dewan Orang Ramai (DOR) Mat Kilau, di sini, ditutup sepenuhnya, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, Kapten (PA) Zaubidah Said berkata, semua mangsa banjir yang berada di kedua-dua PPS berkenaan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air surut sepenuhnya di kawasan kediaman mereka.
“Penutupan PPS itu susulan keadaan cuaca bertambah baik di daerah Kuantan, hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Berdasarkan laporan, banjir yang berlaku sejak Rabu lalu menyebabkan 249 mangsa daripada 74 keluarga terpaksa berpindah di lima PPS di daerah ini.
Sementara itu, menurut laporan infobanjir.water.gov.my paras air Sungai Belat dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, di sini yang melepasi paras amaran semalam, kembali berada pada paras normal, hari ini.
Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini meramalkan hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang sehingga jam 7 malam.
Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.