Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Najib Razak mencadangkan Kerajaan untuk memperkenalkan program kepada bank di negara ini bagi membiayai 70 peratus daripada pembelian saham bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham dibenarkan.
Beliau berkata, cara itu sama seperti skim pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ia dapt membantu rakyat membina kekayaan apabila harga saham naik.
“Malah jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos faedah.
“Memandangkan pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi, kerajaan perlu melaksanakan langkah yang mampu menambah keyakinan pelabur dengan menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik, menarik dan merangsang perhatian pelabur,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Najib turut mencadangkan kebenaran kepada rakyat membeli dan melabur dalam aset digital kripto dengan mata wang ringgit supaya ditambah baik.
“Ini bagi membolehkan mereka melaburkan dalam aset fizikal di pasaran tempatan dan sasaran kita adalah untuk membawa aset kripto melabur di dalam Malaysia bukan untuk rakyat Malaysia membawa keluar.
“Bayangkan jika Malaysia berjaya menawan 5 peratus sahaja daripada nilai AS$2 trilion aset kripto dunia, ia bersamaan dengan pengaliran dana asing sebanyak AS$100 bilion atau RM410 bilion yang boleh memanfaatkan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya Kerajaan memperkenalkan cukai pemulihan selama dua tahun.
“Cukai pemulihan ini seperti cukai durian runtuh, pembangunan kondo mewah, kenaikan cukai peribadi kepada golongan berpendapatan paling tinggi dan cukai terhadap gergasi teknologi contohnya Amazon, Netflix, Youtube, Google dan Facebook,” katanya.
Ends/tony