TEMERLOH: Sejumlah RM470,300 diperuntukkan oleh Kerajaan Pahang untuk 15 masjid dan 27 surau di daerah ini dan Bera yang terjejas kerana banjir, Disember 2021.
Sumbangan itu atas keprihatinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang diadakan di Masjid Taman Sri Semantan, di sini, malam tadi.
Penyerahan sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Syed Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, 12 masjid dan 20 surau di Temerloh mendapat manfaatnya di samping tiga masjid serta tujuh surau di Bera.
“Pengagihan dibuat mengikut kategori kerosakan yang dilapor dan dikenal pasti oleh Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dan pengurusan masjid.
“Jumlah berbeza mengikut tahap kerosakan dan kerugian. Walaupun ia tidak memenuhi kos sebenar kerosakan, setidak-tidaknya dapat meringankan beban yang ditanggung pihak masjid dan surau,” katanya.
Syed Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerdau, berkata pengagihan peruntukan diadakan mengikut zon.
Menurutnya, Raub, Lipis dan Bentong dan beberapa daerah lain juga akan menerima bantuan sama selepas ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN