KUANTAN: Sekurang-kurangnya 401 peniaga kecil Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional kawasan Indera Mahkota menerima geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM).
Pengerusi Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Abd Hamid, berkata RM3,000 setiap peniaga sekali bayar tanpa bayaran balik itu diberikan kepada peniaga kecil yang terjejas ketika banjir pada Disember tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, 388 penerima adalah daripada Sahabat Usahawan AIM manakala baki 13 penerima pula daripada TEKUN.
“Dengan adanya bantuan seumpama ini dapat membantu peniaga kecil termasuk penjaja dan peniaga di tepi jalan bangkit kembali dalam perniagaan yang diusahakan,” katanya.
Mustaffar Kamal berkata pada Majlis Penyerahan Geran BBKM di Dewan Atabara Indera Mahkota, di sini, semalam.
Beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob kerana menyediakan insentif bantuan kepada rakyat yang memerlukan.
“Terima kasih dan syabas juga kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar kerana berjuang menyuarakan hak dan kepentingan peniaga kecil ini,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN