Bantuan hadapi tengkujuh tiba di Tioman

Bantuan hadapi tengkujuh tiba di Tioman

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

ROMPIN: Kerajaan Pahang menyediakan 31 tan bekalan makanan kering kepada penduduk Pulau Tioman sebagai persediaan menghadapi tengkujuh.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata bekalan makanan itu diagihkan kepada lima pangkalan hadapan di pulau peranginan itu, semalam. 

Katanya, bantuan makanan yang disediakan akan diberikan kepada setiap ketua isi rumah (KIR) apabila penduduk dapat melakukan semua aktiviti di laut di samping penutupan sektor pelancongan.

“Antara barangan bantuan disediakan seperti beras, biskut, gula, tepung, minyak masak, sardin dan kopi yang mampu bertahan untuk kira-kira 10 hari,” katanya pada program misi penyelarasan bekalan makanan persediaan bencana ke Pulau Tioman.

Turut sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman.

Zulkhairi berkata, pihaknya mengagihkan kira-kira 19 tan barangan makanan kepada penduduk Pulau Tioman, tahun lalu. 

Katanya, projek itu dilaksanakan setiap tahun dan mampu memberi manfaat kepada lebih 750 KIR dan 2,800 ahli isi rumah di pulau itu.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menyediakan bantuan barangan seperti selimut, tuala dan kain pelikat.