Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
RAUB: Kerajaan Pahang meneruskan komitmen menyampaikan bantuan untuk rakyat apabila menyalurkan peruntukan YAB Menteri Besar Pahang di Raub, hari ini.
Peruntukan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM54,560 itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam Dato’ Abd Aziz Mat Kiram dan ADUN Dong, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin di Masjid Sultan Abu Bakar di sini.
Difahamkan, peruntukan hari ini membabitkan Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) sebanyak RM6,000 untuk enam penerima.
Bantuan prihatin turut disampaikan kepada pekerja dan pengusaha kantin serta dewan makan kepada 23 penerima dengan kos keseluruhan RM2,300.
Seterusnya, Bantuan Khas Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) kepada lapan penerima membabitkan kos RM4,000
Sebanyak RM44,160 lagi diperuntukkan bagi Inisiatif Jubah kepada pegawai masjid dan surau yang diwakili 59 penerima.