Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
BENTONG: Kerajaan negeri meneruskan aktiviti membantu rakyat menerusi penyerahan Peruntukan Khas Menteri Besar Pahang dan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2021 bagi daerah ini, semalam.
Jumlah keseluruhan kedua-dua program bantuan ialah RM47,000 dengan majlis penyerahan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Mengikut pembahagian bantuan ialah Inisiatif Jubah kepada 72 wakil pegawai masjid dan surau seluruh Bentong dengan kos sebanyak RM41,400.
Bantuan seterusnya adalah Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 kepada Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Daerah Bentong sebanyak RM1,500.
Seterusnya BPP kepada pekerja dan pengusaha kantin serta dewan makan asrama (SMAN Daerah Bentong) kepada 12 penerima membabitkan peruntukan RM1,200.
Akhir sekali, sumbangan Bantuan Khas Kewangan kepada Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA) Daerah Bentong membabitkan tujuh penerima dengan jumlah RM3,500.