PEKAN: Kerajaan Pahang bersetuju memberikan bantuan khas sebanyak RM200 sebulan selama enam bulan kepada ketua isi keluarga (KIR) mangsa banjir di negeri ini yang kehilangan rumah akibat musibah berkenaan baru-baru ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata buat masa ini kerajaan negeri dalam proses mengumpulkan data mengenai mereka yang kehilangan rumah 100 peratus disebabkan banjir bagi tujuan berkenaan.
“Kita dah ada senarai awal dan saya sudah meminta beberapa agensi antaranya pejabat daerah (Pejabat Daerah dan Tanah), PBT (pihak berkuasa tempatan) dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) kumpulkan data mereka yang terbabit untuk melengkapkan senarai penerima.
“Kita akan bagi (beri) mereka yang rumah mereka mengalami ‘total lost’ (kemusnahan) sahaja dan kita beri untuk tempoh enam bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika melakukan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Dato; Mahmud Mat di sini, hari ini.
Dalam lawatan itu, beliau menyampaikan bantuan RM1,500 tunai kepada mangsa banjir di PPS berkenaan.
Sumbangan itu adalah wang ihsan yang pertama buat mangsa banjir di Pahang iaitu RM500 daripada Kerajaan Pahang manakala RM1,000 oleh Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji kemungkinan untuk menggunakan asrama sebagai PPS pada masa akan datang.
“Jika cadangan ini sesuai dilaksanakan, kita tak perlu lagi menggunakan bilik darjah atau kelas sebagai tempat pemindahan kerana asrama lebih sesuai… dah ada tilam, bantal dan katil untuk digunakan.
“Kita juga sedang kaji untuk bina PPS tetap di lokasi bersesuaian di tempat tinggi yang tidak terkena banjir yang mana ia juga boleh digunakan untuk aktiviti lain antaranya bersukan, main badminton contohnya pada musim tak banjir,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN