Bantuan RM56 juta disalurkan sebagai bukti komitmen kerajaan prihatin

Bantuan RM56 juta disalurkan sebagai bukti komitmen kerajaan prihatin

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Kerajaan Pahang setakat ini sudah mengagihkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan dan sunbangan kepada agensi negeri berjumlah RM56 juta di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) untuk tahun ini.
Terbaru, kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memperuntukkan hampir RM300,000 untuk diberikan kepada guru takmir dan penyelia Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di seluruh negeri ini.
“Bantuan secara ‘one-off’ ini diberikan kepada 420 guru takmir, penyelia takmir (15 orang) dan penyelia KAFA (40 orang).

KUANTAN 04 MEI 2021. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan ucaptama pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang kepada Guru-Guru Takmir, Penyelaras Takmir dan Penyelia KAFA Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal


“Walaupun tidak banyak iaitu RM500 seorang, kita harap bantuan ini dapat meringankan beban mereka, lebih-lebih lagi untuk menyambut hari raya (Aidilfitri) tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis BPP Bagi Guru Takmir, Peyelia Takmir dan Penyelia KAFA di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda dan Pengarah JAIP, Dato’ Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz.


Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus menyalurkan BPP kepada rakyat Pahang dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.
Malah katanya, kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan mengamalkan pendekatan secara proaktif bagi memenuhi keperluan rakyat segenap lapisan di negeri ini.


“Kita mengambil pendekatan tidak menunggu, sebaliknya saya sendiri akan tanya EXCO apa lagi yang boleh dibantu dan kita turun ke bawah menyalurkan bantuan.


“Kadang-kadang, bukannya rakyat minta tetapi kita berasakan perlu beri bantuan, kita beri. Contohnya Rumah Rakyat Pahang (RRP)… rakyat tak minta pun tapi kita rasa perlu bagi,” katanya.