Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
ROMPIN: Bantuan bencana menghadapi tengkujuh yang disediakan Kerajaan Pahang dapat meringankan beban penduduk Pulau Tioman berikutan monsun timur laut.
Agihan bantuan seperti bekalan 10 hari makanan keperluan harian itu diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.
Ketua Kampung Salang, Mohd Shrif Rahmat, berkata bantuan bencana yang disediakan kerajaan kali ini tiba lebih awal berbanding sebelum ini.
Menurutnya, beliau dan penduduk Kampung Salang mengucapkan terima kasih pada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, yang sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat.
Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan bencana pangkalan hadapan daripada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin, semalam.
Ketua Kampung Juara, Razib Ali Awang, berkata bantuan bencana bukti prihatin Menteri Besar Pahang terhadap kebajikan rakyat yang dalam kesusahan.
“Kami penduduk Pulau Tioman berasa begitu bertuah memiliki pucuk pimpinan negeri yang sentiasa memikirkan nasib rakyat tidak mengira masa dan ketika,” katanya.