Bantuan Tunai Rakyat Fasa 1 pada Januari 2023

Bantuan Tunai Rakyat Fasa 1 pada Januari 2023

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju meneruskan beberapa bantuan yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2023 sebelum ini dengan penambahan baik dari segi jumlah serta dipercepatkan tempoh pembayarannya.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, berkata ia termasuk Bantuan Tunai Rakyat yang akan diteruskan dengan pembayaran Fasa 1 mula disalurkan pada Januari 2023 berbanding Mac sebelum ini. 

“Bayaran Fasa 1 ini akan memanfaatkan hampir 9 juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion membabitkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 ringgit untuk penerima bujang.

“Saya berharap, penyaluran awal ini dapat membantu meringankan beban rakyat pada waktu ini,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 pada Persidangan Penggal Pertama, Parlimen ke-15, di sini, hari ini.

Selain itu, kerajaan juga akan meneruskan Bantuan Awal Persekolahan RM150 kepada semua murid pada Januari depan, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, selain Bantuan Kebajikan Masyarakat kepada isi rumah miskin, warga emas dan OKU juga diteruskan.

Sementara itu, dalam memastikan kebajikan pekebun kecil dan getah ketika musim tengkujuh, Anwar berkata kerajaan bercadang menyalurkan bantuan tambahan RM200 kepada pekebun kecil getah bagi Januari 2023.

“Setakat ini, Kerajaan telah pun menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi November dan Disember dengan bantuan keseluruhan RM600 ringgit kepada hampir 320,000 pekebun kecil getah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kerajaan akan meneliti rancangan untuk menambah peruntukan dalam pengurusan bencana dan banjir berikutan keadaan banjir yang dialami dilihat lebih parah daripada jangkaan awal.

Menurut Perdana Menteri, peruntukan RM400 juta sudah disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebelum ini sebagai kesiapsiagaan awal di kawasan banjir dan memberi jaminan akan menyediakan sumber kewangan tambahan sekiranya perlu.

Katanya pelbagai agensi kerajaan juga sudah berada di lapangan bagi menggerakkan jentera untuk membantu rakyat.

Rang Undang-Undang itu kemudianya diluluskan Dewan Rakyat tanpa dibahaskan. – BERNAMA