Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat akan menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM10 bilion kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan tunai bagi mereka yang memerlukan juga akan diteruskan pada tahun depan.
“Bantuan ini bukan sahaja untuk dinikmati golongan B40 tetapi meliputi bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan.
“Selain itu, bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang COVID-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada PKS (perusahaan kecil dan sederhana), terutama dalam meraih peluang ekoran pembukaan semula ekonomi selaras pelaksanaan PPN (Pelan Pemulihan Negara),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Khas yang disiarkan secara langsung hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sejajar dengan cadangan yang diterima, Kerajaan Pusat akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana COVID-19 kepada RM110 bilion, berbanding RM65 bilion seperti diluluskan Parlimen tahun lalu.
“Peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis COVID-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
“Dalam menangani krisis kesihatan COVID-19, peruntukan tambahan akan disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes COVID-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif atau ‘test, trace and isolate’.
“Kerajaan juga akan mengukuhkan sistem kesihatan terutamanya dalam menambah petugas kesihatan serta meningkatkan kapasiti wad ICU, termasuk penyumber luaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta, selaras dengan pendekatan ‘Whole of Nation’,” katanya.