KUANTAN: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pahang terus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Terengganu.
Setiausaha Kehormat Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (MAKPEN), Salamon Ali Rizal Abdul Rahman berkata, bantuan pasca banjir kini diuruskan oleh NGO berkaitan tanpa melalui pihaknya.
Bagaimanapun, katanya, MAKPEN sedia membantu menguruskan bantuan yang ingin disumbangkan oleh NGO terbabit kepada mangsa banjir.
Katanya, selain bantuan tenaga kerja untuk mencuci kediaman yang ditenggelami banjir, bantuan keperluan asas termasuk lampin pakai buang bayi dan dewasa serta tuala wanita amat diperlukan.
“Bantuan masih diberikan kepada mangsa banjir. Ini terbukti apabila lebih 350 sukarelawan membabitkan 24 NGO dan agensi kerajaan menyertai misi bantuan pasca banjir di Hulu Terengganu.
“Lebih 15 tan barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, susu, minyak masak dan biskut diagihkan kepada mangsa banjir di beberapa kampung tradisional di Hulu Terengganu,” katanya, di sini, hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD