KUANTAN: Kerajaan Pahang meluluskan dasar perumahan khusus bagi penjawat awam dikenali Rumah Penjawat Awam Pahang (RPAP).
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata langkah itu diambil kerana Kerajaan Pahang menyedari kepentingan penjawat awam sebagai pemangkin pembangunan negeri.
“Projek ini menawarkan tiga kategori harga jualan bermula daripada RM120,000 bagi rumah teres setingkat dan pangsapuri serta sehingga RM450,000 bagi rumah banglo setingkat.
“Bagi 2022, kerajaan negeri secara dasarnya telah meluluskan tanah seluas 80 ekar (32.4 hektar) tanah bagi projek RPAP di KotaSAS,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Pahang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menambah bilangan projek Rumah Rakyat Pahang daripada empat kepada enam unit rumah bagi setiap kawasan Dun dengan jumlah keseluruhan sebanyak 266 unit membabitkan peruntukan sebanyak RM19.95 juta.
“Bagi kategori rakyat berpendapatan sederhana rendah dan sederhana, kerajaan negeri terus komited melaksanakan Projek PR1MA Pahang yang mana setakat 2021, sebanyak 124 projek PR1MA Pahang dengan bilangan unit sebanyak 39,679 unit diluluskan kepada pemaju swasta di seluruh Pahang dan pelaksanaan pembinaannya diteruskan pada 2022,” katanya.
Tambahnya sebagai penambah baikan kepada projek PR1MA Pahang sedia ada, kerajaan negeri melaksanakan projek Rumah Makmur bagi memenuhi keperluan golongan sasaran yang berpendapatan sederhana rendah yang mana sehingga kini sebanyak 22 projek sudah diluluskan dengan jumlah rumah yang bakal dibina adalah sebanyak 6,165 unit rumah.
“Rumah Makmur ini diharap dapat memberikan lebih peluang kepada golongan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah satu isi rumah untuk memiliki kediaman selesa untuk didiami.
“Bagi 2021 juga, sebanyak tiga projek dengan 722 unit rumah telah memulakan kerja di tapak iaitu di Kuantan, Maran dan Lipis. Di samping itu, sebanyak 30 unit Rumah Makmur di Lipis dijangka dapat disiapkan pada 2022,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga memperkenalkan skim pemilikan tapak rumah yang mempunyai infrastruktur asas seperti jalan, air dan elektrik yang dinamakan Skim Tanah Warisan (STW).
“Skim ini adalah hasil dari cetusan idea menggabungkan pembangunan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) dan pemajuan projek perumahan oleh pemaju swasta.
“Projek STW pertama diluluskan kerajaan negeri adalah di Kuala Medang, Lipis. Bagi projek ini, kita akan memberikan hakmilik tanah berkeluasan antara 8,000 sehingga 10,000 kaki persegi (743 hingga 929 meter persegi) bagi tujuan pembinaan rumah oleh peserta terpilih dengan dikenakan bayaran premium sebnyak RM10,000 sahaja.
“Pembinaan infrastruktur pula akan dilaksanakan kontraktor dilantik dengan kos pembangunan dibiayai kerajaan negeri.
“Bagi maksud pembiayaan untuk membina rumah kediaman, peserta dibenarkan mencagarkan tanah yang diberimilik oleh kerajaan negeri bagi tujuan mendapatkan pinjaman bank dan peserta juga dikenakan moratorium sekatan pindahmilik tanah selama 10 tahun,” katanya.
Menurutnya lagi, STW akan diperluaskan ke seluruh Pahang dengan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu projek di setiap daerah.
“Perancangan bagi 2022 adalah di enam daerah iaitu Raub, Temerloh, Rompin, Jerantut, Bera dan Maran sebelum akan dikembangkan ke daerah lain di negeri ini.
“Sebagai permulaan pada tahun ini, kita memperuntukkan RM15 juta bagi fasa pertama projek yang akan bermula di Kuala Medang, Lipis. Projek ini disasarkan akan memberi manfaat kepada 250 orang penerima,” katanya.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri terus komited memastikan golongan berpendapatan rendah yang mendiami Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) terus terbela.
“Bagi penghuni PAKR yang telah menjelaskan keseluruhan bayaran ansuran unit masing-masing, mereka akan diberi pemilikan unit-unit PAKR berkenan. Sebanyak 448 hakmilik akan dikeluarkan pada 2022.