RAUB: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub bertindak tegas dengan memusnahkan lebih 600 pokok durian Musang King yang ditanam haram dalam Hutan Simpan Teras, di sini, hari ini.
Operasi Teras dilakukan di kawasan ceroboh seluas kira-kira empat hektar yang diteroka secara haram dipercayai lebih dua tahun lalu.
Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, operasi lima jam bermula kira-kira 9 pagi itu, diperkuatkan oleh 25 kakitangan dengan pengawasan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.
Menurutnya, pihaknya mengesan kawasan itu selepas melakukan rondaan dan semakan menggunakan sistem e-Geoformatik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada 26 November lalu.
Katanya, hasil siasatan dilakukan mendapati kegiatan penerokaan kawasan berkenaan dilakukan oleh seorang lelaki yang menggunakan beberapa pekerja warga asing.
“Kita tebang pokok Musang King berusia setahun hingga dua tahun dimusnahkan dengan parang dan mesin gergaji berantai. Nilai 600 pokok yang dimusnahkan dianggarkan lebih RM30,000,” katanya selepas turut sama menyertai operasi berkenaan.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini PHD Raub telah melakukan lima operasi membenteras penerokaan hutan simpan secara haram membabitkan kawasan seluas kira-kira 142.7 hektar.
“Operasi Teras ini adalah yang keenam tahun ini. Tindakan sama akan dilakukan secara berterusan dalam memastikan kegiatan menceroboh hutan simpan secara haram tidak berulang.
“Kita akan mengadakan program menanam 1,500 pokok balak di kawasan terbabit bermula esok,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.