PEKAN: Sekurang-kurangnya 74 keluarga nelayan Kampung Nenasi, di sini, diraikan pada Program Sedekad Jelajah Ramadan PahangFM, semalam.
Program itu membabitkan kerjasama di antara Universiti Malaysia Pahang (UMP), RTM dan Kerajaan Pahang dalam menyantuni penduduk kampung di Nenasi sempena sambutan 20 Tahun UMP dan 76 Tahun RTM.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata mereka yang diraikan terdiri daripada golongan warga emas dan asnaf.
“Alhamdulillah, dengan izinnya saya merasmikan Program Sedekad Jelajah Ramadan PahangFM bersama masyarakat Kampung Nenasi.
“Pelbagai aktiviti diaturkan sepanjang program antaranya kenduri rakyat, memasak bubur lambuk dan laksa gebok, sumbangan makanan untuk penduduk, sumbangan anak pokok nanas percuma, ceramah agama, vaksinasi serta pemeriksaan kesihatan percuma,” katanya.
Mohammad Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Bebar, berkata UMP menyumbang alat solar mudah alih untuk kegunaan Masjid Nenasi ketika ketiadaan bekalan elektrik atau menyempurnakan urusan di tanah perkuburan pada sebelah malam.
Katanya, UMP melalui Yayasan UMP turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada keluarga miskin dan ibu tunggal.
“Saya turut menyampaikan sumbangan cek peruntukan Kerajaan Pahang dan duit yang diluluskan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, kepada lapan penerima untuk tujuan baik pulih rumah, baik pulih Tabika Kemas, rawatan perubatan dan bantuan pendidikan anak,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN