Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar Mustaffa Kamal
KUANTAN: Sebanyak 3,800 peluang pekerjaan ‘terhidang’ untuk pencari kerja di negeri ini melalui Karnival Penjana Kerjaya bermula hari ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pelbagai kategori pekerjaan dalam bermacam-macam sektor ditawarkan 20 majikan yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Beliau berkata, bagi memastikan program berkenaan dapat diakses pencari kerja di luar bandar, kerajaan negeri memberi peruntukan tambahan sebanyak RM30,000 kepada PERKESO Pahang untuk disalurkan ke Pusat Internet Komuniti (PIK) terpilih.
Katanya, program julung kali diadakan secara online itu boleh diakses melalui pautan https://bit.ly/KarnivalKerjayaMelaluiPIK2021 untuk tujuan pendaftaran.
“Kerajaan Pahang dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO, menyediakan 3,800 peluang pekerjaan melalui Karnival Penjana Kerjaya yang bermula hari ini.
“Melalui program ini juga, kita harap seramai 737 individu di Pahang yang kehilangan kerja sejak awal tahun ini, dapat merebut peluang dengan menyertai program yang kita lancarkan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Penjana Kerjaya Negeri Pahang di Wisma PERKESO, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, John Riba Marin.
Ditanya mengenai statistik terkini kehilangan pekerjaan di Pahang, Wan Rosdy berkata, Mac lalu merekodkan jumlah kehilangan pekerjaan tertinggi dengan 111 kes.
“Tiga sektor dengan jumlah kehilangan pekerjaan tertinggi ialah sektor pembuatan, sektor pemborongan dan peruncitan dan sektor penginapan serta makanan dan minuman.
“Oleh itu, dengan jumlah jawatan kosong ditawarkan melalui program ini dan berdasarkan statistik jumlah mereka yang didaftarkan sebagai hilang pekerjaan, kita harap semua pihak mengambil peluang ini untuk mencari kerja bersesuaian dengan kebolehan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya berharap pada pembentangan Belanjawan 2022 hujung bulan ini, Kerajaan Pusat dapat memberikan perhatian kepada proses pemulihan ekonomi pasca Covid-19 selain menumpukan usaha mengekang pandemik berkenaan daripada terus menular.
“Bantuan bersasar kepada rakyat perlu diteruskan kerana masih ramai yang terkesan akibat COVID-19 dan memerlukan masa untuk bangkit semula.
“Jadi, fokus utama selain pemulihan semula ekonomi ialah mengatasi isu atau masalah pengangguran,” katanya.