Baqiuddin tidak sangka impian jadi kenyataan

Baqiuddin tidak sangka impian jadi kenyataan

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pemain tengah Sri Pahang FC, Muhd Baqiuddin Shamsudin tidak menyangka impian beraksi di negeri kelahiran akhirnya menjadi kenyataan.

  Pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berkata, biarpun pernah bermain dalam skuad Piala Presiden Pahang pada 2015, beliau tidak menyarung jersi Pahang.

Aksi pemain tengah Sri Pahang FC, Muhd Baqiuddin Shamsudin.

  Sebaliknya, katanya, kerjaya bola sepaknya lebih kepada saingan Liga Perdana, antaranya beraksi bersama PDRM, Kuantan FA, Shahzan Muda dan UKM FC.

  “Namun, segalanya berubah musim ini apabila saya mendapat tawaran daripada Dato’ Mohammed Suffian Awang (Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC).

  “Pada mulanya saya terkejut tetapi bersyukur kerana akhirnya dapat juga bermain di Liga Super malah menambah lagi kegembiraan,menyarung jersi negeri kelahiran.

  “Saya tidak mahu membazirkan peluang yang diberikan dan buat masa ini, saya cukup teruja kerana sering kali mendapat peluang untuk diturunkan dan gol pertama saya ketika bertemu UiTM menjadi pembakar motivasi untuk gigih tingkatkan prestasi,” katanya.

  Musim ini, Baqiuddin  melakukan 12 penampilan dalam kesebelasan utama dan hanya dimasukkan sekali sahaja selaku pemain gantian bersama Sri Pahang, musim ini.

  Pada masa sama, Muhd Baqiuddin optimis Sri Pahang akan terus mempamerkan kebangkitan dalam baki saingan Liga Super musim ini.

  Selepas 13 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kesembilan liga dengan mengutip 12 mata.