Baru lima bulan, Pahang dah dapat separuh sasaran hasil

Baru lima bulan, Pahang dah dapat separuh sasaran hasil

KUANTAN: Kerajaan Pahang berada pada landasan tepat untuk mencapai hasil sebanyak RM1 bilion tahun ini apabila sudah mengutip leboh RM500 juta dalam tempoh hanya lima bulan pertama tahun ini.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pencapaian itu melebihi sasaran awal ditetapkan sekali gus membuktikan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN).

Katanya, beliau amat optimis sasaran RM1 bilion hasil boleh dicapai, lebih-lebih lagi menerusi laporan kewangan kerajaan negeri menunjukkan hasil sebanyak RM520 juta berjaya dikutip setakat Rabu lalu.

“Sepatutnya separuh daripada sasaran dapat dalam tempoh enam bulan tapi baru bulan lima kita dah dapat. Kita dah ada ‘reserve’ (rizab) untuk tiga bulan.

“Maknanya, kalau selepas ini kerajaan negeri langsung tidak ada pendapatan, kita tetap boleh bayar gaji penjawat awam selama tiga bulan dan akan tambah reserve kepada empat ke lima bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama perasmian Sidang Belia Dewan Negeri Pahang dan Makan Malam Di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang, Jalan Teluk Sisek, di sini, malam tadi. 

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan I, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Dato’ Sri Ishak Muhamad dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Dalam Belanjawan 2022 di DUN Pahang 6 Disember tahun lalu, Wan Rosdy membentangkan mengenai sasaran hasil kerajaan negeri sebanyak lebih RM1 bilion tahun ini, berbanding RM866 juta tahun lalu. – HELMY ABD RAHMAN