Batu kristal kuarza Ulu Cheka ada nilai

Batu kristal kuarza Ulu Cheka ada nilai

JERANTUT: Batu kristal kuarza tanpa warna di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka, di sini, adalah penemuan terbaharu dalam perut bumi Pahang.

Batu kristal bersaiz di antara 4.0 hingga 4.5 sentimeter dengan berat kira-kira 150 gram itu sangat menarik walaupun belum melalui proses pembersihan.

Bahan galian berkenaan ditemui empat penyelidik Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menyertai Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka selama lima hari, berakhir semalam. 

Bagi Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Elvaene James dia tidak menyangka terdapat batu kristal dalam kawasan hutan tadahan air itu.

Katanya, dia bersama tiga penuntutnya, Shuhada Farhana Roslan, Nur Ain Wahidah Mohammad Razali dan Muhammad Aiman Fikri Mohd Sena bagaikan tidak percaya apabila menemui batu kristal itu. 

“Kami menemuinya di kawasan laluan air dan banyak batu besar. Penduduk mendakwa tempat itu sebelum ini berlaku kejadian kepala air. Untuk sampai ke kawasan itu mengambil masa kira-kira sejam berjalan.

“Saya tidak menolak kemungkinan kawasan Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka banyak terdapat batu kristal yang mampu memberi sumber pendapatan sampingan kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata pada Majlis Penutup Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka disempurnakan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Rosilan Said. 

Kira-kira 30 penyelidik mengikuti Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka anjuran JPNP dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Mereka terdiri daripada pensyarah, penuntut universiti dan pegawai agensi kerajaan yang melakukan kajian dalam bidang tumbuhan, haiwan, kualiti air, flora, mamaliar, sektor pelancongan, geologi dan serangga. – MOHD IMRAN IZZAD