KUANTAN: Kejayaan Pahang menjenamakan masakan ikan patin sehingga dikenali bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara, menjadi inspirasi kepada Kerajaan Terengganu untuk mempromosikan ikan baung sebagai ikon baharu pelancongan gastronomi di negeri itu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat 1 Terengganu, Sulaiman Sulong, berkata ia sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan sektor pelancongan negeri itu,
“Pahang menjenamakan masakan ikan patin sehingga terkenal di seluruh negara, Terengganu juga masakan istimewa ikan baung.
“Kita akan menjadikan masakan istimewa ikan baung ini ikon baharu dalam mengenengahkan Terengganu sebagai destinasi baharu untuk pelancongan gastronomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan bagi mewakili Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman pada Kempen Jelajah Beautiful Terengganu 2022 di Pahang dengan slogan ‘Pakat Maghi Teganu’ (Pakat Datang ke Terengganu) di sini, semalam. – HELMY ABD RAHMAN