BENTONG: KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar tugas dan kepentingan masjid dan surau dimanfaatkan sepenuhnya, terutama sepanjang Ramadan.
Baginda bertitah, masjid sebagai tempat ibadah semestinya ditadbir secara cekap dan berhemah supaya pengurusannya sentiasa lancar serta kewujudan masjid tidak menjadi sia-sia.
“Saya menyeru kepada semua ibu bapa agar memanfaat peluang pada Ramadan ini. Bawalah anak ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah, bertarawih dan gandakanlah amal ibadat kita lebih-lebih lagi pada sepuluh malam terakhir Ramadan ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Baru Bandar Karak iaitu Masjid As-Salam dan juga majlis berbuka puasa, di sini, semalam.
Hadir sama ialah YAM Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Ibni Almarhum Tengku Arif Bendahara Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi, Dato’ Sri Mohd Soffi Abd Razak dan Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut bertitah agar umat Islam sentiasa bersatu hati kerana dengan penyatuan hati dan sentiasa bermufakat.
Pada majlis sama, baginda juga berkenan menyampaikan zakat kepada 110 asnaf dan menyampaikan kurniaan sepuluh komputer riba kepada asnaf.
Masjid As-Salam yang boleh memuatkan 350 jemaah pada satu-satu masa mula dibina pada 23 Julai 2015 dan siap pada 8 November 2016 dengan kos kira-kira RM5 juta. – HUSIN IBRAHIM