Bayangan dah ada 

Bayangan dah ada 

BERA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kekal sebagai Menteri Besar Pahang seandainya BN sekali lagi dipilih rakyat negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Beliau berkata, ia berdasarkan pencapaian cemerlang dicatatkan Wan Rosdy sepanjang mengetuai kerajaan negeri sejak 2018.

“Insya-Allah saya yakin, kalau beliau diberikan perkenan oleh KDYMM Tuanku (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah) membentu kerajaan negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy akan dapat memberikan kepimpinan yang terbaik untuk Pahang ini.

“Sila tuan tuan dan puan puan berdiri dan memberikan tepukan gemuruh untuk beliau (Wan Rosdy),” katanya pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran dan Perlancaran Jentera BN Pahang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)  di Laman Kerayong, di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memuji YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang menurutnya mencapai lebih banyak kejayaan berbanding dua Perdana Menteri sebelumnya.

“Walaupun beliau (Ismail Sabri) hanya menerajui Kerajaan Persekutuan selama 15 bulan, beliau berjaya mencapai lebih banyak kejayaan berbanding dua Perdana Menteri sebelum itu yang berkuasa selama 39 bulan.

“Semuanya bermula apabila rakyat dijanjikan pelbagai janji kosong sebelum PRU14 oleh kerajaan gagal 22 bulan yang tidak dapat memenuhi janji mereka.

“Selepas itu kerajaan 17 bulan juga tidak mampu membetulkan kesilapan kerajaan 22 bulan, malah mereka mengisytiharkan darurat sekali gus tambah menyukarkan hidup rakyat,” katanya yang juga Presiden UMNO. –  HELMY ABD RAHMAN