Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Seorang pemandu lori mendakwa kerugian RM6,800 kerana disyaki ditipu dalam urusan pembelian tiga ekor kambing diiklankan melalui laman sosial, Selasa lalu.
Mangsa berusia 30 tahun dari Temerloh, dikatakan tertarik dengan iklan tersebut lantas menghubungi penjual melalui nombor telefon disediakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berminat untuk membeli tiga ekor kambing yang ditawarkan pada harga RM2,800.
Katanya, sebagai tanda setuju, penjual terbabit meminta mangsa membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM1,400 dan dia (mangsa) berbuat demikian melalui pindahan wang ke akaun bank atas nama sebuah syarikat pada hari sama.
“Pada hari berikutnya, mangsa meminta bantuan adiknya untuk melunaskan baki bayaran sebanyak RM1,400 juga melalui akaun bank sama.
“Selepas bayaran dibuat, mangsa terus diminta membuat bayaran tambahan untuk kos proses berjumlah RM4,000 dan dia akur apabila membuat bayaran seperti diminta ke akaun bank atas nama seorang lelaki,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa mula curiga apabila terlalu banyak proses dalam urusan pembelian terbabit malah jumlah bayaran proses yang dibuat jauh melebihi harga kambing yang dipersetujui sebelum ini.
“Mengesyaki dia ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh semalam. Polis tidak menolak kemungkinan kambing diiklankan itu tidak wujud sebaliknya hanya helah untuk memerangkap mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Wazir menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang menjurus kepada penipuan dan tidak mudah membuat bayaran secara pindahan wang ke akaun bank bagi mengelak tertipu oleh pihak tidak bertanggungjawab.