KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju mengecualikan bayaran sewa rumah bagi mengsa banjir yang menduduki Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR).
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pengecualian itu termasuk mereka yang mempunyai tunggakan untuk tempoh selama tiga bulan, mulai Januari ini sehingga Mac depan.
Menurutnya, bantuan kerajaan negeri itu membabitkan 2,072 isi rumah dengan peruntukan bantuan sebanyak RM300,800 sebulan.
“Oleh itu, jumlah keseluruhan peruntukan untuk bantuan ini adalah RM902,400 bagi tempoh tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sangat bersimpati dan akan terus komited untuk membantu mangsa yang terkesan akibat bencana banjir di Pahang.
Menurutnya, sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan beberapa bantuan khas dan akan sentiasa meneliti keperluan dan bantuan kepada mangsa banjir dari semasa ke semasa.
“Kerajaan negeri juga mengambil berat terhadap faktor kebajikan rakyat yang terjejas dengan bencana banjir termasuk membabitkan penghuni rumah PAKR yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan rendah,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN