Bazar Ramadan Balok dibuka semula selepas ditutup sehari

Bazar Ramadan Balok dibuka semula selepas ditutup sehari

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Selepas sehari ditutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bazar Ramadan Balok, di sini, dibuka kembali, semalam.

  Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin berkata, keputusan itu selepas pihaknya berpuas hati dengan usaha yang dilakukan penganjur bazar terbabit.

  Katanya, berdasarkan pemantauan yang dilakukan semalam, peniaga dan pengunjung didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

  “Hasil pemantauan itu juga kita dapati pihak penganjur mengikut syarat termasuk kerjasama yang diberikan peniaga dan pengunjung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

  Bagi memastikan tiada kes bazar ditutup, beliau berkata, semua penganjur bazar Ramadan diminta mengikut garis panduan yang diberikan.

  Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk menutup bazar jika ada berlaku pelanggaran syarat.

  “Pematuhan SOP perlu untuk membendung penularan wabak pandemik COVID-19,” katanya.

  Kelmarin, MBK menutup bazar Ramadan Balok selepas penganjur dikesan melanggar SOP iaitu tidak melakukan pemeriksaan suhu, tiada pendaftaran masuk mahupun penyediaan laluan sehala.  

  Malah, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah juga dibenarkan masuk ke bazar berkenaan.

t