Oleh Izzah Yusoff
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Izzah Yusoff
KUANTAN: Rakyat di negeri ini menyambut baik dan menyatakan kesyukuran apabila Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 sebanyak RM7.8 juta secara bersasar kepada penduduk bagi meringankan beban rakyat termasuk peniaga kecil yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan PKP Diperketatkan (PKPD).
Ketua Kampung Bukit Sekilau, Mohamed Rashid Arifin berkata, bantuan berkenaan tepat pada masanya kerana ia dapat membantu meringankan beban golongan yang terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0 dan PKPD.
“Sedikit sebanyak bantuan ini dapat membantu peniaga-peniaga kecil, pemandu teksi dan sebagainya yang terjejas akibat penularan COVID-19 ini,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang di sini, hari ini.
Bagi peniaga kecil, Hanisah Md Hasan, 46, BPP COVID-19 sememangnya amat dinanti dan diperlukan peniaga sepertinya bagi meringankan beban ekonomi yang dihadapi ketika ini.
“Terima kasih Menteri Besar Pahang atas keprihatinan dan mengambil kisah dengan memberi BPP ini kepada kami (peniaga-peniaga kecil) yang banyak terjejas semenjak PKPB, PKP dan PKPD ini.
“BPP ini sedikit sebanyak dapat membaik pulih perniagaan ketika berdepan detik sukar seperti sekarang,” katanya.
Sementera itu, peniaga kecil, Rozlan Rahim, 45, Wan Rosdy sememangnya antara Menteri Besar terbaik yang mementingkan tindakan, bukan sekadar cakap kosong.
“Dia (Wan Rosdy) sangat mengambil berat dan memahami masalah yang dihadapi rakyat ketika ini dan ini membuktikan kebolehan serta kecekapannya mentadbir negeri, antara yang terbaik di negara ini,” katanya.
Ahmad Iqbal Faliq Rosdi, 26, pula berkata, dia sangat bersyukur dengan bantuan yang diumumkan dan berharap bantuan itu diberikan secara adil dengan jumlah yang diperuntukkan.
Kelmarin, Wan Rosdy mengumumkan Kerajaan Pahang menyediakan bantuan RM7.8 juta bagi meringankan bebanan rakyat negeri ini yang terkesan terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0 dan PKPD.
Katanya, BPP COVID-19 itu disediakan sebagai tanda kerajaan negeri mengambil kisah terhadap permasalahan rakyat yang sedang berdepan tempoh sukar ketika ini.