Bekalan air pulih doh weh 

Bekalan air pulih doh weh 

KUANTAN: Kerja-kerja penyambungan paip pintasan air sepanjang 130 meter (m) di Mahkota Golf & Country Club (MGCC), Indera Mahota di sini, siap sepenuhnya awal pagi tadi sekali gus membolehkan 18,250 akaun terjejas, mendapat kembali bekalan air secara berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan  Air Pahang Berhad (PAIP), Saiful Zaini Mohd Bokhari, berkata penyambungan paip pintasan ke jajaran paip sedia ada, disempurnakan jam 1 pagi, jauh lebih awal berbanding tempoh 48 jam (bermula Selasa) yang dijangkakan sebelum ini.

“Alhamdulillah, cabaran besar ini dapat dilaksanakan dengan sempurna apabila kerja- kerja pembaikan ini diselesaikan jauh lebih awal dan kurang dari tempoh 48 jam seperti jangkaan asal,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Fikrah Pahang sebelum ini melaporkan, kerja-kerja pintasan paip itu perlu dilakukan selepas PAIP mengesan berlakukan kejadian paip lama pecah di MGCC yang mengakibatkan gangguan bekalan air di banyak kawasan di daerah ini kira-kira dua minggu lalu. 

Mengulas lanjut, Saiful Zaini berkata, dengan siapnya kerja-kerja pembaikian itu, pam air mentah di Rumah Pam Kobat dapat dihidupkan dan kembali beroperasi.

“Sehingga jam 5 pagi, operasi pam dapat dijalankan untuk dihantar kepada Loji Rawatan Air (LRA) Semambu untuk diproses sebagai air yang terawat.

“Tangki-tangki imbangan dan tangki simpanan dalam proses dipenuhkan untuk membina tekanan dan aliran yang baik. Sehubungan itu, pengguna dijangka mendapat kembali bekalan air secara berperingkat,” katanya. 

Setakat ini, beberapa kawasan yang mula menerima kembali bekalan air, iaitu di sebahagian Jalan Bukit Setongkol, seluruh kawasan Jalan Haji Junid, Jalan Darat Makbar, Jalan Kg Jawa, Jalan Wong Ah Jang, Taman Zurina, Sri Teruntum, Jalan Mat Kilau dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). 

Selain itu, seluruh kawasan Jalan Penjara, Pejabat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Kemunting, Giant, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), JKR Elektrik, Jalan Besar, Jalan Mahkota, Kompleks Teruntum, Kuantan Parade, Jalan Hj Abd Aziz dan Jalan Merdeka.

Bekalan juga kembali diterima bagi kawasan Jalan Bank, Masjid Negeri, Wisma Persekutuan, Ibu Pejabat Polis Kuantan, Wisma Tenaga Nasional Bhd (TNB), Jalan Gambut, Megamall, Kuantan City Mall (KCM), East Coast Mall (ECM), Jalan Tun Ismail, Lorong Jalan Hj Ahmad 1hingga 8, UTC, Pasar Besar serta Jalan Lim Hoe Lek. 

Juga, kawasan Lorong Sri Kuantan 1 hingga 6, sebahagian Jalan Teluk Sisek, AC Marriot Hotel dan kawasan sekitarnya. – HELMY ABD RAHMAN