Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
PEKAN: “Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lalu, saya tidak lagi dapat meneruskan aktiviti menanam cendawan berwarna merah jambu dan kuning berikutan tiada bekalan benih dari negara jiran.
“Selepas beberapa musim berjaya mengusahakan tanaman cendawan berkenaan, saya kini terpaksa menangguhkannya,” kata usahawan cendawan, Shafawira Ramlee, 43.
Katanya, percubaan pertama menanam cendawan berwarna sebelum ini begitu berjaya apabila tumbuh subur hampir sama dengan cendawan tiram kelabu yang mengambil masa 40 hingga 45 hari untuk membesar dan boleh dituai.
Menurutnya, walaupun saiz cendawan berwarna agak kecil dan keras berbanding cendawan tiram kelabu yang sudah lama terkenal di negara ini, permintaan pengguna begitu menggalakkan.
“Cendawan berwarna masih asing bagi penduduk negara ini berbanding di Indonesia dan Thailand yang sudah lama mengeluarkan produk berkenaan hasil penyelidikan dilakukan golongan pakar di dua negara berkenaan.
“Saya difahamkan pengusaha tanaman cendawan di dua negara berkenaan berjaya menghasilkan cendawan dengan pelbagai warna yang menarik dan mampu memikat hati pengguna,” katanya yang berpengalaman lebih lima tahun mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu.
Dia yang mengusahakan tanaman cendawan di kawasan Pusat Pertanian Tanah Putih, di sini berkata, dia kini hanya menumpukan kepada tanaman cendawan kelabu bagi memenuhi permintaan pengguna di daerah ini dan Kuantan.
Tambahnya, dia kini mempunyai lebih 20,000 bongkah cendawan tiram kelabu yang ditempatkan dalam empat rumah cambah dengan setiap hari pengeluaran antara 10 hingga 15 kilogram (kg) bergantung pada keadaan cuaca semasa dan tahap kelembapan dalam rumah serta jumlah bongkah.
Menurutnya, pasaran cendawan tiram sebelum ini begitu menggalakkan yang dijual terus kepada pengguna selain turut dibekalkan kepada beberapa pemborong tetap, namun sepanjang PKP pasaran agak pelahan
“Aktiviti jualan produk pertanian termasuk cendawan kini terjejas selepas pihak berkuasa mengehadkan kegiatan jualan di pasar malam, pasar pagi, pekan sehari dan pasar tani.
“Saya kini terpaksa berusaha meluaskan lagi pasaran dengan menghantar ke pejabat kerajaan dan restoran. Selain itu, jualan secara dalam talian juga dilakukan menggunakan media sosial dengan harga RM12 hingga RM16 sekilogram.
“Sokongan Jabatan Pertanian Negeri Pahang dan Pejabat Pertanian Daerah Pekan menambahkan kesungguhan saya mengusahakan projek tanaman cendawan yang sebelum ini diusahakan arwah ayah lebih 20 tahun,” katanya yang turut menjual bongkah cendawan.