Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@gmail.com
TEMERLOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan kit ujian pantas (RTK) antigen kendiri yang dijual di farmasi adalah mencukupi.
Keresahan pengguna terhadap bekalan RTK berikutan permintaan tinggi terhadap kit ujian itu susulan pembukaan banyak sektor ekonomi dan gelembung pelancongan.
Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata pihaknya sentiasa memantau bekalan kit berkenaan.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan bertambah setiap hari. Kami mendapati senarai pembekal bahan ujian itu juga bertambah.
“Sekarang ini kita sudah ada 18 syarikat yang diluluskan untuk membawa masuk dan mengilang RTK antigen secara kendiri ini,” katanya selepas melakukan pemantauan di sebuah farmasi, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Temerloh, Abdul Razak Yahaya.
Menurut Azman, pihaknya terus melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan kit berkenaan dijual tidak melebihi RM19.90.
Sehingga ini, katanya, 1,999 farmasi seluruh negara sudah diperiksa bagi memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.
“Daripada pemeriksaan, sekurang-kurangnya 199 farmasi didapati menjual kit itu lebih murah dan tiada laporan penjualan kit tiruan,”katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan ke atas alat bacaan oksigen atau oximeter agar ia tidak dijual dengan harga yang melampau.