Bekalan makanan banjir dah ada di 156 pangkalan hadapan

Bekalan makanan banjir dah ada di 156 pangkalan hadapan

LIPIS: Sekurang-kurangnya 156 pengkalan hadapan di Pahang sudah menerima bekalan makanan asas bagi persediaan menghadapi musim tengkujuh.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengkalan hadapan itu  menyediakan barangan keperluan asas seperti beras, gula, garam, minyak masak, biskut, kopi, sardin, teh dan kari ayam.

Katanya, makanan itu turut dipastikan berkualiti, selamat, bersih dan disimpan di pangkalan hadapan yang telah disanitasi dan melalui proses kawalan serangga.

“Terdapat 156 pangkalan hadapan termasuk 15 yang berada di daerah Lipis membabitkan penggunaan dewan terbuka, balai raya, masjid dan sekolah.

“Alhamdulillah, saya dapati persediaannya cukup baik dan saya rasa lebih baik daripada sebelum ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pelepasan Misi Penghantaran Bekalan Keperluan Bencana Monsun Timur Laut  Ke Pangkalan Hadapan Bagi Daerah Lipis di Dataran Pekan Sehari Kuala Medang, di sini, semalam. 

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, petugas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga sudah bersedia menggalas tugas sekiranya banjir. – MUHAMMAD NAJMIE