Oleh Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com
JERANTUT: Kerajaan Pahang memperuntukkan sekurang-kurangnya RM7.5 juta sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan bah, penghujung tahun ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia termasuk RM2.5 juta kos 199 tan bekalan barangan keperluan makanan yang akan dihantar berperingkat ke 140 pangkalan hadapan seluruh negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia kerana banjir boleh dikatakan perkara yang tidak dapat dielakkan dan berlaku setiap tahun.
“Oleh itu, kita hantar bekalan lebih awal walaupun ramalan banjir bermungkinan berlaku pada akhir Disember atau awal Januari. Kita sudah mengeluarkan RM2.5 juta daripada wang peruntukan keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran pelepasan misi penghantaran bekalan keperluan bencana musim tengkujuh di perkarangan Majlis Daerah Jerantut, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato Sri Dr Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.
Katanya, kerajaan negeri dan JKM sudah menghantar bekalan keperluan bencana sembilan jenis barangan seperti beras, gula, minyak masak dan garam halus untuk lima pengkalan hadapan di Pulau Tioman, pada 30 Oktober lalu.
“Saya juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, yang telah menaikkan bantuan kepada mereka yang terkesan banjir iaitu daripada RM500 ke RM1,000,” katanya.